Penerima biasiswa Seni Majlis Seni Kebangsaan (NAC) peringkat Possiswazah 2025 ini anggap seni sebagai ruang untuk ketengahkan isu sosial.

Usia Encik Muhammad Muazzam baru mencecah 17 tahun semasa beliau meluangkan masa bersama neneknya yang terlantar di hospital akibat serangan angin ahmar.
Pada 2012, kurang setahun selepas serangan angin ahmar itu, dan sekitar tiga bulan menjaga neneknya, wanita yang telah menjadi tunjang kekuatan dalam kehidupannya itu menghembuskan nafas terakhir.
Dalam rintihannya selama sedekad, Encik Muazzam, 30 tahun, menjadikan seni pementasan sebagai cara untuk mengatasi rasa sedih serta meluahkan pengalamannya.
Beliau kini menuntut dalam jurusan gerontologi, atau pengajian berbilang disiplin berkenaan isu penuaan, di peringkat Sarjana di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).
Selama 15 tahun lamanya Encik Muazzam menjadikan kegiatan seni pementasan sebagai ruang untuk beliau mengetengahkan isu sosial yang rumit, sambil berhasrat membina masyarakat terangkum yang memandang proses penuaan secara empati, kreatif dan penuh hormat.
Encik Muazzam, yang lebih dikenali sebagai Zam, ialah seorang penggiat teater dalam bidang seni teater gunaan atau applied theatre berteraskan masyarakat – yang berusaha membawa seni teater merentas sektor dan bekerjasama dengan pelbagai kelompok termasuk belia, warga emas serta golongan berkeperluan khas.
Bidang seni tersebut menggunakan aktiviti drama seperti lakonan, improvisasi, penceritaan serta persembahan yang dicipta tanpa skrip sebagai alat untuk membantu individu meneliti pengalaman sendiri dan isu sosial di sekeliling mereka.
Fokusnya pada penyertaan, refleksi dan kesan terhadap kumpulan atau masyarakat tertentu.
Ini berbeza daripada teater arus perdana yang lazimnya menumpukan pada persembahan berskrip untuk penonton berbayar, dengan keutamaan terhadap kecemerlangan artistik dan estetika persembahan tersebut.
“Tujuannya untuk menghargai pelbagai kisah (kumpulan atau masyarakat tertentu) dengan penuh maruah. Dan cara saya menghargai kisah-kisah itu boleh diwujudkan dalam pelbagai bentuk seni.
“Ia boleh terbentuk seperti sebuah bengkel atau projek video kami, iaitu melalui podcast. Atau juga melalui persembahan teater,” katanya ketika ditanya mengenai salah satu bidang pengkhususannya, teater kenangan (reminiscence theatre), satu bentuk dalam bidang seni teater gunaan.
Orangnya tak lokek senyuman dan banyak berjenaka sepanjang wawancara bersama Berita Minggu.
Namun, di sebalik sikapnya yang tampak bersahaja itu, tersirat sifat yang tidak pernah jemu memperjuangkan suara mereka yang berada di pinggiran.

Cabaran Penuaan
Dalam ucapannya semasa Rapat Hari Kebangsaan pada 17 Ogos, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata Singapura bakal menjadi sebuah negara sangat menua menjelang 2026.
“Sarjana ini membolehkan saya belajar dan mengisi jurang pengetahuan tentang sistem berkaitan isu penuaan, menjadikan seni pementasan saya sebagai wadah perubahan sosial,” ujar Encik Muazzam.
Atas usahanya yang gigih, Encik Muazzam telah dianugerahkan dengan Biasiswa Seni Majlis Seni Kebangsaan (NAC) peringkat Possiswazah 2025 pada 5 Ogos lalu, menjadikannya salah seorang daripada lima penerima biasiswa tersebut.
“Dalam konsep penuaan aktif, ia tentang menggalakkan warga emas untuk melakukan sesuatu bersama sebagai sebuah masyarakat.
“Arwah nenek sering berada di rumah. Saya jarang melihatnya keluar, kecuali apabila kami ke Malaysia menziarahi keluarga. Itu pun sangat jarang. Ibu pula, yang berusia 50-an tahun mempunyai beg penuh ubat-ubatan dan kini menghidap artritis. Beliau juga jarang keluar… hanya untuk bekerja.
“Berapa ramai warga emas atau warga senja dalam masyarakat Melayu/Islam kita yang hidup serupa? Apa yang berlaku apabila warga emas memilih untuk menyendiri (dan tidak keluar)? Itu menjadi satu masalah,” kata Encik Muazzam, seorang anak tunggal dan masih bujang.

Seni Bukan Sekadar Medium Hiburan
Pada 25 September, dalam ucapannya semasa perbahasan mengenai Amanat Presiden di Parlimen sebagai Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo menzahirkan penghargaan terhadap kerja rentas sektor Encik Muazzam melalui inisiatif Arts for Action (AFA), di mana seni teaternya digunakan sebagai jambatan ke luar sektor seni seperti perkhidmatan sosial, kesihatan dan pendidikan.
Encik Muazzam percaya seni – dengan nilai keterhubungan sosialnya – mempunyai peranan penting dalam membantu individu menemukan ‘agensi’ mereka, mengambil tanggungjawab atas kehidupan mereka serta membentuk masa depan mereka sendiri.
Beliau berpendapat masih banyak usaha diperlukan untuk mematangkan ekosistem seni Singapura.
“Kita perlu menilai semula cara kita mengukur keberhasilan apabila melibatkan pembiayaan program seni berteraskan masyarakat.
“Satu perkara yang juga harus kita lakukan adalah melabur dalam pekerja masyarakat dan pekerja budaya.
“Merekalah individu yang mendekati dan menghubungkan masyarakat yang berada di pinggiran,” katanya.
Dengan kerja yang dilakukannya sebagai Pengasas dan Pengarah Artistik di AFA, amalan seninya merupakan sebuah lapangan yang sentiasa berkembang dan sukar untuk ditakrifkan.
“Saya ingin terokai bagaimana untuk membina tenaga kerja seni yang mapan dan berdaya tahan.
“Kerana, pada saya, kita sebenarnya sedang mencipta pekerjaan yang belum lagi wujud,” tambahnya.
Projek seterusnya, Echoes of 217, ialah program Teater dalam Pendidikan (Theatre-in-Education) yang meneroka isu kaum dan agama melalui pementasan semula rusuhan kaum pada 1964, dan akan dipersembahkan dari Januari hingga Mac 2026 kepada pelbagai kumpulan peserta.
Projek ini menerima sokongan penuh geran Akademi Seni Halus Nanyang (NAFA) Collaborative Lab, dan merupakan usaha kolaborasi antara AFA dan Dialogue Centre.
Program tersebut akan dipersembahkan di NAFA.
Originally published in Berita Harian on 21 Dec 2025 at 2:34pm “Penggiat teater teroka wadah seni tingkat kesejahteraan warga emas, masyarakat terpinggir” by Muhd Harraz Hamid, mharraz@sph.com.sg (Article link)
You may view the English translated version here.


Leave a Reply